KUALA LUMPUR 28 OKT. – Sejak ditubuhkan pada 1983, Kumpulan Emkay tidak hanya memandang keuntungan semata-mata, sebaliknya turut memikirkan keperluan golongan kurang berkemampuan dalam memiliki kediaman sendiri.
Keprihatinan itu sentiasa tertanam dalam diri Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar, 69, hinggakan beliau pernah digelar King of Affordable Homes di atas sumbangan dan pengalamannya dalam membangunkan rumah mampu milik di negara ini.
Kejayaan terbesar Kumpulan Emkay adalah apabila berjaya membina beberapa bandar baharu antaranya Bandar Baru Sungai Buloh yang turut menempatkan rumah mampu milik dan pembinaan apartmen sebanyak 11,000 unit di Damansara Damai dengan harga serendah RM25,000 pada penghujung tahun 80-an.
Kini, usaha itu masih diteruskan dengan pembinaan rumah mampu milik berharga kurang daripada RM250,000 yang kebanyakannya di Perak dan syarikat berharap dapat membangunkan lebih banyak rumah mampu milik di kawasan bandar bagi memenuhi permintaan orang ramai.
“Sekarang, kita sepatutnya memberi tumpuan dalam membina rumah yang mampu dibeli oleh golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
“Rancangan saya adalah untuk membina rumah mampu milik berharga antara RM70,000 hingga RM80,000 di kawasan bandar kerana hakikatnya masih ramai tidak dapat membeli rumah khususnya mereka yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan,” katanya ketika ditemui di Galeri Emkay, Menara Mustapha Kamal sempena sambutan ulang tahun ke-35 tahun Kumpulan Emkay, di Petaling Jaya dekat sini baru-baru ini.
Galeri Emkay terbuka kepada orang ramai dan kemasukan adalah percuma dengan temu janji.
Mustapha berkata, biarpun kedengaran tidak masuk akal dan kelihatan merugikan, tetapi ia sebenarnya boleh dilaksanakan menerusi konsep subsidi silang dengan syarat mendapat kerjasama penuh daripada kerajaan Pusat, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju lain.
Jelasnya, menerusi konsep tersebut, kerajaan negeri perlu menyediakan tanah secara percuma manakala kerajaan Pusat memainkan peranan mewujudkan konsortium bank bagi menyediakan pinjaman 100 peratus kepada pembeli terutama mereka yang tidak mampu menyediakan bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus.
Sementara itu katanya, pemaju pula boleh membangunkan sebuah projek yang merangkumi beberapa jenis rumah dan juga lot kedai.
Beliau berkata, dalam projek pembangunan bercampur itu, 10 peratus daripada pembinaan rumah perlu dikhaskan untuk rumah mampu milik berharga sekurang-kurangnya RM70,000.
“Manakala 40 peratus lagi masing-masing diperuntukkan untuk pembinaan rumah dalam lingkungan RM300,000 dan pembinaan rumah yang harganya tidak dikawal (bergantung kepada pemaju).
“Selebihnya iaitu kira-kira 10 peratus dikhususkan untuk pembinaan lot kedai. Keuntungan yang diperoleh daripada ketiga-tiga komponen tersebut akan digunakan untuk membiayai rumah mampu milik berharga RM70,000 itu.
“Inilah yang disebut berfikir di luar kotak dalam usaha menyediakan rumah mampu milik kepada mereka memerlukan,” katanya.
Menurut Mustapha, rumah mampu milik idamannya itu berkeluasan 600 kaki persegi dengan dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air.
Katanya, biarpun rumah tersebut dijual dengan harga murah, lokasi pembinaan bukanlah di luar bandar sebaliknya ia didirikan di kawasan bandar.
Beliau berkata, jika projek itu dibangunkan di kawasan bandar maka kos untuk membina infrastruktur akan berkurangan kerana sudah ada rangkaian jalan raya dan bekalan elektrik sedia ada.
“Kos penjimatan ini boleh diserap untuk pembinaan rumah mampu milik. Selalunya, kos tersebut akan diambil oleh pemaju sebagai untung tetapi saya ingin memulangkannya semula kepada pembeli.
“Selagi saya berdaya untuk membina rumah mampu milik, saya akan lakukannya dan buat masa ini saya meletakkan RM70,000 sebagai penanda arasnya.
“Bagi saya, untung atau rugi bukanlah satu isu sebaliknya kita perlu memikirkan apa yang boleh kita lakukan untuk merealisasikan pembinaan rumah berharga RM70,000 untuk rakyat,” katanya yang berpegang pada prinsip ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.’
Jelas Mustapha, jika rancangan itu berjaya direalisasikan, ia mungkin adalah satu daripada kerja terakhirnya sebelum beliau bersara daripada industri hartanah.
“Saya hendak melakukan sesuatu yang boleh diingati bukan sahaja sebagai usahawan berjaya, tetapi individu yang memberi sumbangan bernilai kepada bangsa dan negara.
“Namun, rancangan yang sama juga boleh dilakukan oleh mana-mana pemaju kerana lebih banyak syarikat yang berminat melaksanakannya, maka lebih banyak rumah mampu milik dapat dibina di Malaysia, cuma pastikan ia dijual pada harga RM70,000 bukannya RM300,000,” katanya.
Sepanjang 35 tahun penubuhannya, Kumpulan Emkay telah berjaya membangunkan kawasan-kawasan yang dahulu dikatakan terpencil, tetapi kini menjadi kawasan elit yang lengkap dengan infrastruktur terkini seperti Damansara Perdana dan Cyberjaya.
Secara keseluruhannya, Kumpulan Emkay telah berjaya membangunkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM20.88 bilion termasuk RM2.5 bilion yang diusahakan MK Land untuk projek rumah mampu milik berharga kurang daripada RM100,000.










