LONDON 21 Okt. – Pengendali Arsenal, Unai Emery mendedahkan bahawa dia berminat untuk mendapatkan Alexandre Lacazette semasa dia mengendalikan Paris Saint-Germain (PSG).
Bintang antarabangsa Perancis itu menampilkan aksi cemerlang bagi musim 2018-19 dengan menjaringkan empat gol dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris selain satu gol dalam saingan Piala Liga menentang Brentford.
Pemain berusia 27 tahun itu bagaimanapun bergelut untuk menyesuaikan diri pada musim ini selepas berhijrah dari Lyon ke Arsenal namun berjaya menjadi pemain utama di bawah kendalian Emery.
Emery mengakui dia pernah menimbangkan hasrat untuk membawa Lacazette ke PSG meskipun ketika itu memiliki jentera serangan ampuh termasuk Neymar, Kylian Mbappe dan Edinson Cavani.
“Ketika saya tiba di PSG, kami terfikir untuk mendapatkan Lacazette.
“Kualiti dan karekter yang dimilikinya sesuai dengan keadaan di PSG. Pekerja kelab itu juga mengakui Lacazette memiliki kualiti untuk menjadi pemain PSG.
“Dia bersama Lyon dan bukan mudah untuk kami bercakap atau mendapatkan pemain dari Lyon. Tetapi dia adalah pilihan untuk kami,” kata Emery.
Meskipun Lacazette sedang berada di tahap terbaik namun pengendali Arsenal itu percaya masih ada ruang untuk terus meningkatkan kualiti permainannya.-AGENSI










