KEJAYAAN pemain badminton perseorangan negara, Goh Jin Wei yang menjadi atlet pertama merangkul pingat emas pada Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2018 di Buenos Aires, Argentina semalam diharap menjadi motivasi kepadanya untuk menuai emas di pentas Olimpik Tokyo 2020 di Jepun.
Jangkaan tersebut mungkin boleh berlaku pada sukan terbesar di dunia itu apabila pemain berusia 18 tahun itu turut mencipta sejarah sebagai satu-satunya atlet yang merangkul emas di pentas Olimpik Remaja serta Kejuaraan Badminton Remaja Dunia.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui pihaknya akan memberi pengiktirafan terhadap kejayaan besar yang dicipta oleh Jin Wei di pentas dunia.
“Buat kali pertama dalam sejarah, kita menang emas di YOG menerusi Jin Wei dan kita akan memberi pengiktirafan terhadap kejayaan yang dilakukan itu.
“Ia juga diharapkan dapat memberi inspirasi kepadanya untuk merangkul emas Olimpik pertama negara di Tokyo 2020 tidak lama lagi,” katanya.
Sebagai rekod, juara Remaja Dunia 2015 itu dinobatkan sebagai juara setelah mengetepikan pemain pilihan kedua dari China, Wang Zhiyi dengan keputusan 16-21, 21-13, 21-19 pada perlawanan akhir di Technopolis.
Menerusi kejayaan berkenaan, Malaysia sudah berjaya mencapai sasaran satu pingat emas yang diletakkan pada kontinjen negara di sana.
“Kejayaan ini akan mendorong saya bekerja dengan lebih keras pada masa akan datang,” kata Jin Wei.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menjelaskan, kejayaan Jin Wei serta Lee Jii Zia yang menjuarai Kejohanan Terbuka Taiwan awal minggu lalu membuktikan pelaburan serta pendedahan yang diberikan kepada pemain muda telah memberi impak yang baik terhadap pembangunan sukan badminton negara.










