KUALA LUMPUR 22 Okt. – Penyanyi Elly Mazlein, 38, mengakui, dia lebih mengutamakan keselesaan anaknya, Putri Sara Sefhia, 2, dalam memilih pasangan hidup.
Elly berkata, jika Sefhia selesa dengan calon tersebut, barulah dia bersedia untuk menjadikan lelaki itu sebagai bakal suami atau papa baharu untuk anak kesayangannya itu.
Berhubung ‘papa baharu’ yang dimuat naik dalam Instagram miliknya baru-baru ini, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi menjelaskan, hubungannya dengan lelaki tersebut sekadar kawan.
“Fasal ‘papa baharu’ Sefhia itu, buat masa sekarang saya lebih suka berkata yang kami hanya berkawan. Terlalu awal untuk saya bercerita mengenai rumah tangga kerana saya ini wanita, tidak manis bercerita perihal perkahwinan.
“Sekarang ini yang saya boleh cakap, saya seronok tengok Sefhia gembira dengan ‘papa baharu’. Antara saya dengan dia, kami masih peringkat mengenali hati budi,” kata Elly kepada Utusan Online.
Tambah penyanyi Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu lagi, kalau Sefhia selesa dengan orang berkenaan dan individu itu bertanggungjawab serta menerima anaknya itu seperti anak sendiri, itulah bakal suaminya.
“Kalau Sefhia selesa dan orang itu bertanggungjawab dan boleh buat Sefhia gembira dan terima Sefhia seperti anaknya sendiri, itulah bakal suami saya.
“Cuma buat masa sekarang, terlalu awal untuk saya fikirkan soal rumah tangga. Saya hanya boleh kata, kami masih berkawan.
“Bagi ruang pada saya dan Sefhia untuk rasa momen baharu ini yang tidak pernah kami rasakan sebelum ini. Di mana ada seorang lelaki yang ambil berat pasal Sefhia. Tolong bagi ruang kepada kami, insya-Allah kalau ada cerita menarik dan indah, saya akan kongsi dengan semua orang,” katanya terus terang.
Elly juga memohon agar orang ramai mendoakan dia dan anak supaya mendapat insan yang betul-betul menyayangi dan menjaga mereka dengan sepenuh hati. – UTUSAN ONLINE











