Elizabeth Wong dakwa miliki bukti tentera mengundi pemilihan PKR - Utusan Malaysia

Elizabeth Wong dakwa miliki bukti tentera mengundi pemilihan PKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Ketua Cabang PKR Petaling Jaya Utara (PJU), Elizabeth Wong mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa terdapat segolongan tentera mengundi dalam pemilihan parti berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, dua set dokumen termasuk lampirannya telah diserahkan ke pejabat Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan satu salinan lagi telah diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, set pertama dokumen itu mengandungi nama dan butiran tiga orang yang disyaki anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah mengundi di sebelah pagi pada hari Pemilihan PKR Cabang PJU.

Set kedua, katanya, dokumen yang mengandungi nama 32 ahli PKR Cabang PJU yang didaftarkan berdasarkan alamat kem-kem ATM.

“Anggota-anggota tentera yang didapati terlibat mengundi dalam pemilihan PKR adalah dari Kem Batu Kentomen, Kem Paya Jaras, Kem Sungai Buloh, Kem Wardieburn dan Kem Perdana Sungai Besi.

“Tindakan ini (menyerahkan bukti) dibuat bagi membolehkan Kementerian Pertahanan memulakan semakan sekiranya anggota ATM ada terlibat di dalam aktiviti politik serta membantu cabang PJU mengemaskini senarai keanggotaan cabang,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN