JOHOR BAHRU 27 Okt. – Pembinaan semula projek jambatan bengkok atau Jambatan Indah memberi kesan negatif terhadap ekonomi Singapura secara tidak langsung terutama operasi pelabuhannya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang berpendapat, ini kerana ekonomi Singapura banyak bergantung dengan pendapatan daripada aktiviti pelabuhannya.
“Singapura tidak ada hasil atau sumber galian, hutan atau pertanian. Mereka (Singapura) hanya mengharapkan (hasil pendapatan) pelabuhan.
“Apabila jambatan bengkok siap bukan sahaja beri sumbangan kepada lalu lintas tetapi kapal-kapal kecil dari luar juga akan banyak ‘lari’ ke pelabuhan di Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Tanjung Langsat di Pasir Gudang selain Pelabuhan Tanjung Pelepas (di Iskandar Puteri),” katanya.
Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Perwakilan Bersatu Bahagian Tebrau di Bricks Cafe Kampung Maju Jaya, Skudai, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










