BEIJING 19 Okt. – Pertumbuhan ekonomi China pada suku ketiga mengalami kelembapan pada kadar paling rendah sejak krisis kewangan global.
Keadaan tersebut meningkatkan tekanan terhadap Beijing untuk menyokong dasar negara itu bagi menangani risiko hutang dan perang perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS)
China sedang berusaha mengemudi pelbagai cabaran itu ketika perang perdagangan mengakibatkan penjualan besar-besaran dalam pasaran saham domestik, dan menjatuhkan nilai yuan berbanding dolar AS.
Cabaran terbabit sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan masa depan negara tersebut.
Ekonomi negara itu berkembang 6.5 peratus pada suku ketiga berbanding setahun lalu, turut lebih perlahan berbanding suku kedua, menurut Biro Perangkaan Nasional pada Jumaat.
Penganalisis juga menjangkakan ekonomi China akan berkembang 6.6 peratus bagi tempoh Julai hingga September 2018.
Bacaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tersebut adalah pertumbuhan suku tahun ke tahun paling lemah sejak suku pertama 2019 ketika krisis kewangan global.
“Trend kelembapan semakin meningkat walaupun dengan pihak berkuasa China berikrar untuk menggalakkan pelaburan domestik bagi menyokong ekonomi.
“Permintaan dalam negeri ternyata lebih lemah berbanding eksport yang kukuh,” kata Penganalisis Kanan Pasaran Baharu Muncul SMBC Nikko Securities, Kota Hirayama di Tokyo.
Beijing dan Washington mengenakan tarif barangan antara satu sama lain sejak beberapa bulan lalu, dan rancangan perbincangan dua hala bagi menyelesaikan perkara itu turut telah terhenti.
Ia terus mencetuskan kebimbangan dalam ekuiti domestik dan memberikan lebih tekanan kepada China yang sudah berdepan kelembapan ekonomi dan kelemahan mata wang. – Reuters










