TAPAH – Seorang ejen insurans didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengganggu perjalanan konvoi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di Lebuh Raya Utara-Selatan Khamis lalu.
Tertuduh, Leong Kean Beun, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd.Mazlan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pemandu kereta jenis Lexus berwarna putih telah mengganggu perjalanan konvoi Raja Permaisuri Perak dengan memperlahankan kereta beberapa kali di hadapan konvoi tersebut.
Kesalahan tersebut dilakukan oleh Kean Beun di Kilometer 351, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan kira-kira pukul 5.20 petang pada 25 Oktober lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farahiyah Nadzri manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Amani Williams Hunt Abdullah.
Mohd. Harith turut menetapkan hukuman penjara selama lima bulan sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda yang ditetapkan.
Tertuduh bagaimanapun membayar denda tersebut. – K! ONLINE










