PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mendedahkan surat yang diterima Sekretariat Agung FAS daripada Presiden Kelab Bola Sepak Frenz United, Roslin Shariff berkenaan Kongres Luar Biasa (EGM) pada 1 Oktober lalu adalah tidak sah.
Surat itu dikatakan mewakili beberapa ahli kelab gabungan FAS meminta agar EGM diadakan bertujuan untuk memilih seluruh barisan Jawatankuasa Eksekutif yang baharu termasuk jawatan Presiden.
Bagaimanapun, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan FAS malam tadi mendapati bahawa ia adalah tidak sah berikutan Roslin dikatakan mewakili permintaan 67 ahli kelab gabungan, manakala Sekretariat Agung menerima penarikan permintaan tersebut daripada beberapa ahli kelab gabungan.
“Terdapat juga permintaan yang dibuat oleh ahli kelab gabungan yang tidak sah, ditandatangani oleh penandatangan yang tidak diberikan kuasa serta mereka yang muflis.
“Lebih serius lagi, Sekretariat Agung FAS mendapati terdapat surat permintaan yang mengandungi tandatangan palsu.
“Selaras dengan perlembagaan FAS, permintaan untuk mengadakan EGM ini tidak mencapai kuota diperlukan iaitu separuh daripada keseluruhan ahli kelab gabungan. Oleh sebab itu, penganjuran EGM ini adalah tidak sah.
“Kami akan memaklumkan perkara tersebut kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai perkembangan perkara ini,” titah baginda menerusi kenyataan tersebut.
Pada masa sama, Tengku Amir turut menggesa semua ahli kelab gabungan untuk bersama-sama berganding bahu bersama ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif serta peminat demi memastikan misi transformasi FAS berjaya.
“Kita sudah banyak kehilangan masa, maka kita harus segera mengorak langkah dan membuat persiapan rapi untuk musim akan datang,” titah baginda.










