KUALA LUMPUR 28 Okt. – Selepas membantu Perak menjuarai Piala Malaysia buat kali kelapan khabar angin mengenai masa depan jurulatihnya, Mehmet Durakovic kembali bertiup kencang apabila dia dikaitkan bakal menyertai Selangor pada musim depan.
Begitu pun, ketika ditanya sama ada khabar angin itu benar atau tidak, Mehmet tidak menafikan atau mengiyakan perkara tersebut.
“Sudah pasti saya akan menikmati kemenangan ini bersama keluarga sepanjang minggu ini. Saya perlu meraikan kejayaan ini kerana pemain telah berusaha keras untuk memenanginya. Pujian wajar diberikan kepada pemain dan barisan kejurulatihan dan terima kasih kepada penyokong,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Sebelum ini, akhbar Utusan Malaysia melaporkan masa depan Mehmet bersama skuad The Bos Gaurus menjadi tanda tanya apabila timbul cakap-cakap bahawa dia menyertai Selangor sejak Ogos lalu, bagaimanapun, jurulatih dari Australia itu menafikannya. – UTUSAN ONLINE










