Durian runtuh buat Bos Gaurus - Utusan Malaysia

Durian runtuh buat Bos Gaurus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN Perak mengumumkan pemberian insentif RM15,000 seorang kepada setiap pemain skuad The Bos Gaurus sekiranya berjaya mara ke pentas final Piala Malaysia musim ini.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, insentif tersebut diumumkan bagi menaikkan semangat para pemain bagi menghadapi perlawanan separuh akhir pertama menentang Sabah di Stadium Perak, Ipoh Ahad ini.

“Kerajaan negeri sangat berpuas hati dengan peningkatan prestasi pasukan bola sepak sehingga berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh itu, saya mengumumkan pemberian bonus RM15,000 seorang kepada setiap pemain sekiranya kita berjaya mara ke perlawanan akhir nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan tengah hari Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) bersama Menteri Besar di Kelab Golf Diraja Perak, Ipoh semalam. Turut hadir Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How.

Tambah Ahmad Faizal, kerajaan negeri akan memperuntukkan imbuhan lain sekiranya skuad Perak berjaya memenangi perlawanan akhir Piala Malaysia, sekali gus membawa pulang trofi keramat tersebut ke negeri ini.

“Kita telah menunggu selama 11 tahun untuk mara ke peringkat akhir dan kali terakhir kita berjaya menjulang Piala Malaysia 17 tahun lalu.

“Oleh itu, akan ada imbuhan lain kepada para pemain dan pasukan jika berjaya mendakap dan membawa Piala Malaysia ke Perak,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Faizal memberikan kata-kata semangat dan mahu semua pemain berjuang habis-habisan di atas padang dalam usaha untuk mengalahkan pihak lawan di peringkat separuh akhir di Ipoh dan Likas nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini