Durakovic idam julang Piala Malaysia kali keenam - Utusan Malaysia

Durakovic idam julang Piala Malaysia kali keenam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mahu merangkul Piala Malaysia buat kali keenam apabila pasukannya bertemu Terengganu FC (TFC) di perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok.

Warga Australia berusia 53 tahun itu memenangi Piala Malaysia bersama Selangor tiga tahun berturut-turut sebagai pemain – 1995,196 dan 1997 dan dua kali sebagai jurulatih pada tahun 2014 dan 2015.

“Pasukan ini adalah pasukan baru kecuali pemain import kami, Leandro yang memenangi Piala Malaysia pada tahun 2015 di bawah bimbingan saya di Selangor.

“Bermain di Stadium Shah Alam akan sentiasa menjadi kenangan hebat buat saya sebagai jurulatih dan pemain dan diharapkan saya akan mempunyai perasaan sama apabila kita bermain esok,” katanya pada sidang akhbar sebelum perlawanan di Shah Stadium Alam, di sini, hari ini.

Bagaimanapun Durakovic tetap berhati-hati dengan saingan TFC  atau skuad penyu yang pada masa ini bersemangat tinggi untuk menamatkan kemarau selama 17 tahun untuk meraih Piala Malaysia yang mereka menang kali terakhir pada 2001.

Dalam pada itu, Ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui pemainnya amat bersemangat untuk beraksi esok memandangkan sebahagian besar mereka tidak pernah bermain pada aksi final Piala Malaysia, sambil menambah kesemua pemain bebas daripada sebarang kecederaan.

“Saya lihat mereka amat bersemangat untuk menghadapi Perak memandangkan hampir kesemua mereka adalah pemain muda yang mempunyai semangat berkobar-kobar untuk menjulang Piala Malaysia.

“Saya menyifatkan ini adalah aksi final kedua  yang cukup mencabar untuk pasukan kita setelah kita berjaya menewaskan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim pada aksi separuh akhir sebelum ini,” jelas pengendali berusia 67 tahun itu yang menyifatkan kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang untuk memenangi Piala Malaysia.

Untuk rekod, Perak dan Terengganu pernah bertemu sebanyak dua kali pada aksi final Piala Malaysia pada 1998 dan 2001, dengan kedua-duanya diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perak muncul juara pada edisi 1998  menerusi kemenangan 5-3 pada aksi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi penuh perlawanan.

Terengganu muncul juara pada edisi 2001 setelah mengatasi Perak 2-1 pada aksi final. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN