PLONDON – Putera Harry dan isterinya, Meghan yang memakai gelaran Duchess of Sussex kini menantikan kelahiran anak sulung mereka pada musim bunga 2019, kata pasangan diraja Britain itu dalam satu pengumuman semalam ketika memulakan lawatan ke rantau Pasifik.
“Duke dan Duchess of Sussex amat gembira untuk mengumumkan bahawa Duchess of Sussex dijangka melahirkan seorang bayi pada musim bunga 2019,” kata pihak Istana Kesington yang menjadi kediaman rasmi mereka dalam satu kenyataan.
“Putera Harry dan Megan menghargai semua sokongan yang diterima dari serata dunia sejak perkahwinan mereka pada Mei lalu dan teruja dapat berkongsi berita gembira ini,” tambah kenyataan sama.
Harry dan Meghan yang merupakan bekas aktres Amerika Syarikat (AS), berkahwin dalam majlis gilang-gemilang di Istana Windsor pada 19 Mei lepas.
Pasangan diraja itu mendarat di Sydney semalam untuk memulakan lawatan panjang di rantau Pasifik dalam kunjungan pertama sebagai suami isteri.
Lawatan rasmi selama lebih 14 hari itu dijadualkan merangkumi berbilang persinggahan di Australia, Fiji, Tonga dan New Zealand yang kesemuanya merupakan bekas koloni British.
Megan, 37, disayangi oleh orang ramai dan setiap kemunculannya mendapat liputan wartawan. Media Britain memuji Meghan pada bulan lalu kerana beliau menutup pintu keretanya sendiri semasa menghadiri pembukaan sebuah pameran seni di London.
Perbuatan itu dianggap sebagai tanda bahawa Meghan masih merendah diri tanpa berpura-pura walaupun beliau berkahwin dengan cucu Ratu Elizabeth II. – AFP










