PUTRAJAYA 25 Okt. – Dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah (SM) Agama Persekutuan Kajang, Selangor dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak, Selangor telah diarahkan tutup sementara ekoran jangkitan wabak beguk.
Menurut kenyataan daripada Kementerian Pelajaran, Notis Perintah Tutup Premis terhadap kedua-dua sekolah itu telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan arahan kedua-dua sekolah terbabit akur dengan arahan dan melaksanakan semua urusan penutupan sekolah secara teratur.
“Kedua-dua sekolah terbabit juga telah diminta menjalankan disinfeksi dan sentiasa berhubung dengan ibu bapa mengenai perkembangan mutakhir terutama bagi mereka yang mempunyai anak yang akan menduduki peperiksaan mulai minggu kedua bulan depan,” kata kenyataan itu, di sini hari ini.
Jelas kenyataan itu, notis penutupan terhadap SM Agama Persekutuan Kajang telah dikeluarkan pada 23 Oktober lalu bagi tempoh sehingga 9 November depan manakala notis penutupan SBP Integrasi Gombak dikeluarkan pada 24 Oktober lepas bagi tempoh juga sehingga 9 November ini.
Ujar kenyataan itu, kes jangkitan beguk di SM Agama Persekutuan Kajang telah membabitkan 36 pelajar sekolah berkenaan awal bulan ini sementara SBP Integrasi Gombak pula telah membabitkan 15 pelajar yang dirujuk bagi mendapatkan rawatan. – UTUSAN ONLINE










