KOTA BHARU 20 Okt. – Langkah kerajaan Persekutuan mahu mengehadkan tempoh perkhidmatan jawantan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal mendapat reaksi positif kerajaan Pas Kelantan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, tidak kira sama ada tempoh perkhidmatan panjang atau singkat, setiap individu yang memegang jawatan tersebut perlu memastikan mereka menjalankan tugas diamanahkan dengan sebaik mungkin.
“Bagi saya tidak ada masalah, nak dua penggal, atau satu penggal sekali pun.
“Yang lebih penting, kita gunakan jawatan ini untuk beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Kalau semua puas hati, alhamdulillah sudah cukup kerana kita nak berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Kesyukuran Sambutan 28 Tahun Membangun Bersama Islam di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
Langkah mengehadkan jawatan tertinggi negara dan negeri itu diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia 11 (RMK 11) sebagai sebahagian daripada reformasi politik, kelmarin.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana memutuskan untuk meneruskan projek pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Kota Bharu dengan Gua Musang sebagaiman dirancang sebelum ini. – UTUSAN ONLINE








