Dua penalti musnahkan rekod Arsenal - Utusan Malaysia

Dua penalti musnahkan rekod Arsenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 28 Okt. – Dua sepakan penalti yang disempurnakan Luka Milivojevic menafikan hajat Arsenal untuk melakar kemenangan ke-12 berturut-turut, sebaliknya membantu Crystal Palace mengikat Gunners 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

Kapten Palace, Milivojevic yang gagal menyempurnakan penalti ketika menentang Everton minggu lalu, bagaimanapun tidak melakukan kesilapan apabila beraksi di depan penyokong sendiri di Selhurst Park.

Dia menjaringkan gol pembukaan tuan rumah pada minit ke-45, sebelum memastikan satu mata berharga dipungut Palace apabila menjaringkan gol penyamaan, tujuh minit sebelum tamat permainan.

Selepas ketinggalan 0-1, Arsenal menunjukkan respon baik pada babak kedua dengan menyamakan kedudukan menerusi sepakan bebas Granit Xhaka pada minit ke-51, diikuti jaringan kesembilan Pierre-Emerick Aubameyang musim ini pada minit ke-56.

Kegagalan mengutip tiga mata penuh menyaksikan skuad bimbingan Unai Emery gagal merapatkan jurang dengan pendahulu, Liverpool apabila ketinggalan empat mata di belakang. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN