TAPAH – Dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Tapah maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Taman Universiti Wallagonia dekat Tapah Road sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR, Muhammad Farid Abdul Aziz,20, dan pembonceng, Muhamad Firdaus Mohd. Nor,19, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di kawasan tersebut.
Jelasnya, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki mereka telah berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang juga dipandu seorang pelajar perempuan di universiti itu.
“Siasatan mendapati, kereta tersebut keluar dari simpang sebelah kiri jalan sebelum merempuh motosikal mangsa.
“Kedua-dua mangsa mengalami cedera parah pada beberapa anggita badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Menurut Wan Azharuddin, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tapah di sini untuk dibedah siasat.
Tambahnya, pelajar perempuan yang berusia 19 tahun itu ditahan polis untuk membantu siasatan kemalangan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










