ALOR SETAR 25 Okt. – Dua nelayan tempatan dikhuatiri hilang ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Kuala Sala, Yan selepas membeli sebuah bot di Langkawi, Isnin lalu.
Nelayan terbabit, Mohd. Zamri Abdul Rani, 30, dari Kuala Bangka, Kota Sarang Semut dan Amirul Zakaria, 19, dari Ulu Melaka, Langkawi dipercayai hilang bersama bot yang baru dibeli itu.
Pengarah Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Rozali Mohd. Said berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa kira-kira pukul 8 malam pada hari kejadian.
“Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua orang nelayan terbabit pada keesokan hari.
“Operasi SAR yang dikoordinasikan APMM melibatkan aset laut iaitu dua buah bot daripada APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (sebuah bot), Angkatan Pertahanan Awam (tiga buah bot),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, beberapa buah bot nelayan tempatan turut menyertai operasi SAR yang melibatkan kawasan sektor pencarian seluas 190 kilometer persegi.
“Keadaan cuaca dan laut yang baik diharapkan dapat membantu melancarkan operasi SAR ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










