SEOUL 22 Okt. – Korea Utara dan Korea Selatan serta Pemerintah Tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNC) bersetuju untuk menarik balik senjata dan pos kawalan di zon bebas tentera di Panmunjom minggu ini.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan memaklumkan, berdasarkan perkembangan terbaharu dalam usaha memulihkan hubungan, ketiga-tiga pihak turut bersetuju mengurangkan seramai 35 anggota yang ditugaskan di Kawasan Keselamatan Bersama (JSA).
Mereka juga bersetuju untuk berkongsi maklumat berhubung peralatan pemantauan dan bekerjasama melakukan pemeriksaan dalam tempoh dua hari lagi.
Selain itu kedua-dua negara bersetuju mengundurkan sebanyak 11 pos kawalan dalam lingkungan satu kilometer dari Garisan Tanda Sempadan Tentera menjelang hujung tahun ini. – Reuters











