KUALA LUMPUR 23 Okt.- Dua lorong yang ditutup akibat kerja pengalihan besi susulan kemalangan antara treler dan kereta Honda Jazz di Kilometer 19, Jalan Kuala Lumpur menghala ke Ipoh dari arah Selayang berhampiran Taman Templer dekat sini telah dibuka semula.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, kerja pengalihan telah selesai dan besi yang terjatuh di atas jalan itu telah dialihkan ke treler lain.
“Dua lorong yang ditutup kini telah dibuka semula. Bagaimanapun, keadaan trafik di lokasi kejadian bergerak agak perlahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, dua lorong itu ditutup serta berlaku kesesakan lalu lintas kira-kira tiga kilometer dari arah Rawang ke pusat bandar.
Kemalangan berlaku apabila kereta Honda Jazz keluar dari susur sebuah stesen minyak di sebelah kiri jalan mengakibatkan treler membawa muatan besi yang berada di lorong tengah brek secara mengejut lalu bahan tersebut menggelonsor terkena belakang kereta terbabit serta terjatuh ke atas jalan.- UTUSAN ONLINE










