Dua lelaki warga asing maut diseret pikap - Utusan Malaysia

Dua lelaki warga asing maut diseret pikap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 25 Okt. – Dua lelaki warga asing maut selepas dirempuh dan diseret oleh sebuah pikap sejauh 20 meter di Kilometer 18, Jalan Gua Musang-Lojing di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, pembonceng motosikal jenis Honda C70 dikenali sebagai Master Sulaibeeb Abdulloh, 16, dan penunggang warga India yang masih belum dikenal pasti identiti maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah.

Sementara itu pemandu pikap jenis Toyota Hilux yang merupakan seorang warga Pakistan, Tahir Zada, 32, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pikap dari arah Kuala Betis ke Gua Musang gagal mengawal kenderaannya.

Katanya, ketika sampai di tempat kejadian penunggang motosikal hendak membelok ke kanan, namun secara tiba-tiba pikap yang datang dari arah belakang telah melanggar dan menyeret mangsa sejauh 20 meter ke arah kanan jalan lalu terbabas ke dalam longkang.

“Dua mangsa maut di tempat kejadian dan mayat mereka telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

“Siasatan ke atas pemandu pikap yang bekerja sebagai peniaga mendapati negatif dadah namun kita mendapati lesen memandunya sudah tamat tempoh sejak setahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN