JOHOR BAHRU – Dua lelaki tempatan cuba menyeludup 450 kotak arak mengandungi 10,800 tin minuman keras bernilai RM256,400 dalam sebuah premis di Kawasan Perindustrian Kulai, Kulai dekat sini malam semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, cubaan lelaki masing-masing berusia 24 dan 37 tahun itu bagaimanapun gagal selepas mereka dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, sebelum serbuan, pihaknya telah melakukan intipan setelah menerima maklumat awam berhubung aktiviti penyeludupan terbabit.
“Sejurus suspek berjaya dikesan, kita terus menyerbu premis terbabit sebelum berjaya menahan dua lelaki terbabit bersama dua buah van jenis Toyota Hiace yang baru memasuki premis di Kawasan Perindustrian Kulai.
“Setelah melakukan pemeriksaan kita menemui 450 kotak arak mengandungi 10,800 tin minuman keras bernilai RM256,400 di dalam van terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Khon Chiang berkata, hasil siasatan awal mendapati mereka dipercayai cuba menyeludup minuman keras berkenaan daripada negara jiran untuk dipasarkan di sekitar daerah ini.
Jelas, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967. – K! ONLINE










