GEORGE TOWN – Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri mengesahkan terdapat dua lagi mangsa iaitu lelaki warga Bangladesh yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong di sini semalam.
Jumlah terkini mangsa yang hilang meningkat kepada lima orang berbanding petang tadi dilaporkan hanya seramai tiga orang.
Mangsa keempat dan kelima dikenali sebagai Rahal dan Ujal yang merupakan warga Bangladesh
Pengarah Bomba negeri, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat terkini berhubung penambahan dua lagi mangsa terbabit oleh rakan mereka di lokasi kejadian pada pukul 5 petang tadi.
“Operasi pencarian kelima-lima mangsa terbabit kini dihentikan pada pukul 7 malam tadi ekoran ketidakstabilan tanah dan pencahayaan di lokasi kejadian.
“Kita akan menyambung semula operasi menyelamat mangsa yang melibatkan tiga sektor pada pukul 8 pagi esok,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini sebentar tadi.
Terdahulu, kumpulan media dibenarkan membuat liputan berhampiran lokasi kejadian sebentar tadi dengan jarak perjalanan yang diambil kira-kira 500 meter dari pintu utama. – K! ONLINE









