Dua kanak-kanak dikelar ibu kandung sudah sedarkan diri - Utusan Malaysia

Dua kanak-kanak dikelar ibu kandung sudah sedarkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Dua daripada tiga kanak-kanak yang cedera parah akibat dikelar ibu kandung mereka sendiri kini sudah sedarkan diri selepas mendapat rawatan lanjut di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, dekat sini.

Bapa kanak-kanak terbabit, Yohanes Kolin, 54, berkata, dua anak perempuannya itu masing-masing Nurul Hanisa, 7, dan Melati, 5, berada dalam keadaan stabil selain sudah boleh minum dan berkomunikasi dengannya.

“(Keadaan) kedua-dua mereka boleh dikira bagus (stabil), mereka sudah boleh panggil saya dan boleh minum, namun, mereka masih lagi menerima rawatan,” katanya kepada Bernama di hospital berkenaan, hari ini.

Bagaimanapun, Yohanes berkata, seorang lagi anak lelakinya, Jehan, 2, yang turut cedera parah dalam kejadian itu belum sedarkan diri dan masih menerima rawatan di hospital sama.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari Khamis di kuarters sebuah resort di Pulau Mantanani, Kota Belud itu turut mengorbankan seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dipercayai dikelar di bahagian leher oleh ibunya.

Ibu kanak-kanak terbabit yang berusia lingkungan 30-an itu turut berada dalam keadaan kritikal dan telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut manakala mayat bayi lelaki berkenaan akan dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Yohanes ketika menceritakan insiden tersebut berkata, dia terkejut dan tidak dapat membayangkan kejadian seumpama itu boleh berlaku.

Menurutnya, pada sebelah pagi, isterinya masih melakukan rutin harian dengan membuat susu untuk anak mereka dan menyediakan bubur, namun, pada tengah hari iaitu ketika Yohanes pulang sebentar ke rumah daripada bekerja, dia melihat isterinya menunjukkan kelakuan pelik dengan mengamuk dan menjerit.

Yohanes menenangkan isterinya sebelum isterinya membawa anak-anak mereka masuk ke dalam rumah dan menutup pintu.

“Selepas itu, saya pergi semula ke tempat kerja yang tidak seberapa jauh (dari rumah), saya dengar budak-budak (anak-anak) menjerit meminta tolong.

“Saya bergegas balik ke rumah dan meluru membuka pintu tetapi terkunci. Saya segera merempuh pintu rumah dan melihat anak-anak berada dalam keadaan berlumuran darah,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN