ARAU – Draf pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) oleh agensi itu hanya menunggu ulasan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sebelum dibentangkan kepada Kabinet.
Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, draf tersebut telah pun dibincangkan di peringkat Kementerian Pendidikan manakala Kementerian Kewangan pula membuat ulasan mengenainya Jumaat lepas.
“Bagaimanapun, segala dasar sedia ada dan peraturan berkaitan PTPTN tidak berubah, semua peminjam harus patuh dan terus bayar balik pinjaman,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas perasmian persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Arau di Pusat Transformasi Nelayan, Kuala Sungai Baru di sini disempurnakan Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Senator Datuk Razali Idris.
Wan Saiful yang juga Penasihat Khas Menteri Pendidikan, bagaimanapun tidak menjelaskan ulasan oleh Kementerian Kewangan itu, namun berharap jemaah menteri akan mengumumkan sesuatu yang positif.
Beliau juga ditanya mengenai lawatannya ke London baru-baru ini, namun enggan mengulas sambil berkata jawapan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengenai isu itu sudah pun memadai.
Sebelum ini, Maszlee berkata, lawatan Wan Saiful bersama beberapa pegawai tidak menggunakan sebarang peruntukan kementerian. – Bernama










