LANGKAWI 20 Okt. – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegaskan pendakwaan mahkamah ke atas pemimpin-pemimpin UMNO ketika ini dilakukan mengikut undang-undang berdasarkan aduan yang dilaporkan.
Perdana Menteri itu berkata, pendakwaan tersebut juga bukan bersifat politik, semata-mata untuk memastikan parti berusia lebih enam dekad itu lemah.
“Undang-undang kita tak ambil kira siapa dia. Undang-undang di Malaysia ini, raja pun tertakluk kepada undang-undang.
“Samada dia pemimpin atau tidak pemimpin kalau buat salah maka pihak yang berkuasa melaksanakan undang-undang akan jalankan tugas mereka (mendakwa).
“Kita tunggulah kita bukan macam sesetengah orang tangkap orang letak dalam penjara. Kita ada pendakwaan di mahkamah kita akan hadapkan mereka orang yang dituduh boleh ada peguam pertahankan dia. Jadi kita tengoklah siapa yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Ramah Mesra Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi di Padang Matsirat, di sini hari ini.
Pada majlis sama beliau mengagihkan 1,000 benih pokok kelapa pandan kepada petani, penternak dan nelayan.
Beliau mengulas tentang dakwaan pemimpin UMNO bahawa pendakwaan ke atas pemimpin utama termasuk presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam bertujuan untuk melemahkan parti itu. – UTUSAN ONLINE










