PUTRAJAYA 23 Okt. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali akan melakukan lawatan kerja rasmi selama dua hari ke Thailand bermula esok.
Menurut Kementerian Luar, lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada lawatan pengenalan beliau ke rantau ASEAN sejak menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri pada 10 Mei lalu.
“Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ignatius Darell Leiking dan pegawai kanan kerajaan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, sepanjang lawatan tersebut Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatannya, Prayuth Chan-ocha, selain mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia yang berada di Thailand.
Tambahnya, lawatan tersebut juga akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama sedia ada.- UTUSAN ONLINE










