MOTEGI, Jepun – Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso berjaya meraih petak pertama pada saingan MotoGP Grand Prix Jepun yang berlangsung di Litar Motegi apabila muncul sebagai pelumba terpantas pada sesi kelayakan menerusi catatan masa 1:44.590 saat (s) semalam.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan pelumba berusia 32 tahun itu meraih petak pertama yang ketujuh sepanjang kariernya di MotoGP.
Kedudukan kedua dan ketiga masing-masing disambar oleh Johann Zarco dari Yamaha Tech3 serta Jack Miller (Pramac Ducati).
“Kami memulakan aksi dengan sempurna dan emosi saya juga cukup bagus untuk melakukan tunggangan yang meyakinkan. Mungkin ada sedikit kelemahan yang perlu diperbetulkan sebelum perlumbaan sebenar bermula esok (hari ini).
“Kami perlu melihat aspek tayar jentera serta sistem brek. Perubahan tersebut mungkin akan membuatkan jentera saya menjadi lebih stabil dan laju. Secara keseluruhan, saya gembira dengan kedudukan ini dan berharap dapat merangkul juara esok (hari ini).
“Dari segi kelajuan, jentera ini agak bagus, namun kami perlu pastikan tayar yang digunakan boleh menampung kelajuan tersebut. Kita akan lihat apa yang boleh dipertingkatkan sebelum perlumbaan sebenar,” kata Dovizioso.
Sebagai rekod, juara dunia, Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda sekadar menempah kedudukan keenam, manakala Valentino Rossi di kedudukan kesembilan. – Agensi









