KANGAR – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Perlis menyokong cadangan Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran supaya jabatan itu menggunakan dron untuk memantau tapak pembinaan bagi tujuan keselamatan.
Pengarah DOSH Perlis, Rukairulaizamm Ab. Rahman berkata, penggunaan dron atau pesawat udara kawalan jauh dapat memastikan pemantauan secara efektif di tapak-tapak pembinaan.
“Namun, saya berpendapat penggunaan dron bersifat kritikal di negeri-negeri besar seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.
“Bagi Perlis, sekiranya diterapkan amat baik juga bagi tujuan seliaan keselamatan dengan lebih sempurna,” katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2017 Perlis di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.
Media melaporkan baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dipetik sebagai berkata, DOSH perlu mula menggunakan dron untuk memantau tapak pembinaan bagi tujuan keselamatan.
Katanya dipetik, tugas DOSH melibatkan operasi berisiko dan berbahaya, sekali gus membuat tugas pemantauan sukar dilaksanakan tanpa penggunaan dron.
Dalam pada itu, Rukairulaizamm berkata, sepanjang 2017, pihaknya telah melakukan 276 pemeriksaan dan audit di tempat kerja merangkumi sektor perkhidmatan, industri dan pembinaan di Perlis.
“Lebih 60 peratus telah mencapai tahap C ke atas dan ini merupakan prestasi yang baik dan bagi tahun ini kami menyasarkan pencapaian lebih 80 peratus,” katanya. – K! ONLINE










