Disangka burung, pemburu maut ditembak rakan - Utusan Malaysia

Disangka burung, pemburu maut ditembak rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAPIT – Seorang lelaki maut selepas terkena tembakan daripada rakannya yang menyangka objek yang melintas dihadapannya adalah seekor burung di Lubuk Nabau, Sungai Su, Balleh di sini petang semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang itu, Edwin Gading, 26, meninggal dunia akibat terkena tembakan di kepala.

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Freedy Bian berkata, mangsa bersama rakannya berusia 30 tahun itu pergi memburu di situ sebelum mereka memutuskan untuk berpecah .

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, rakan mangsa telah melepaskan tembakan menggunakan senapang patah dipercayai buatan sendiri selepas menyangka objek yang melintas dihadapannya adalah seekor burung.

“Dia kemudiannya terdengar bunyi jeritan dan sebaik mendekati, suspek terkejut selepas objek yang ditembak itu adalah rakannya sendiri,” katanya tadi.

Menurutnya, suspek segera pulang ke rumah dan memberitahu bapanya berhubung kejadian itu sebelum dua beranak itu kembali semula ke hutan untuk mengambil mangsa.

Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kapit dan suspek membuat laporan polis bagi memaklumkan kejadian itu.

“Suspek ditahan sementara waktu dan polis merampas senapang patah berserta satu kelonsong peluru untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan kerana cuai hingga menyebabkan kematian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini