BATU PAHAT – Polis menahan 10 suspek termasuk sepasang suami isteri selepas dipercayai terlibat dalam kes memukul seorang lelaki hingga mati di daerah ini pada Selasa lalu.

Kesemua mereka termasuk tujuh lelaki dan tiga wanita berusia antara 24 hingga 38 tahun kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, kes berkenaan dipercayai berlaku pada Selasa lalu manakala mangsa berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia pada pukul 5.15 petang keesokan harinya.
Menurutnya, mangsa pada awalnya mengalami kecederaan parah dan tidak sedarkan diri ketika dihantar ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Nora Ismail di sini.
“Mangsa dipercayai telah dilarikan dan dipukul oleh sekumpulan lelaki selepas seorang suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang dikatakan menjalin hubungan sulit dengan isterinya.
“Berdasarkan maklumat dan risikan, tangkapan pertama telah dilakukan ke atas dua wanita berumur 36 dan 38 tahun kelmarin dan mereka kini direman sehingga Rabu ini,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini semalam.
Tambah Azhan, siasatan lanjut kemudiannya mendedahkan penglibatan sekumpulan lelaki yang melarikan mangsa dari sebuah pusat hiburan di Batu Pahat dan membawa serta memukul mangsa di satu tempat di Senggarang dekat sini.
Susulan itu, beliau berkata, polis menahan lapan lagi suspek termasuk suspek utama di Tangkak serta sekitar daerah ini semalam dan kini direman selama seminggu sehingga Jumaat ini.
Tambahnya, kesemua suspek direman di ibu pejabat polis daerah di sini.
“Polis masih meneruskan siasatan terhadap kes ini namun setakat ini boleh dianggap kes tersebut selesai dengan tertangkapnya 10 suspek berkenaan,” katanya.










