KUANTAN 26 Okt. – Seorang penghantar ikan patin dipenjara enam bulan selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menghina polis di laman sosial Facebook, tiga hari lalu.
Mohd. Hannan Ibrahim, 27, dari Kampung Parit, Pekan dekat sini membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di depan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Hannan didakwa dengan niat meninggalkan komen terhadap dua anggota polis yang maut kemalangan di Facebook Komuniti Kuantan berbunyi ‘padan muka polis segelintir jahat hahahaha’ bagi tujuan menyakitkan hati sesetengah pihak menggunakan telefon pintar jenis Samsung Galaxy J2 Prime kira-kira pukul 5.30 petang pada 23 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana menyifatkan ia satu kesalahan serius berbentuk penghinaan terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ahli keluarga mangsa. – UTUSAN ONLINE










