KUALA TERENGGANU – Polis menahan seorang pemungut sampah yang bertindak menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita di belakang Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa Wei Sin di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, suspek lelaki berusia 25 tahun yang berasal dari Kampung Mengabang Tengah di sini berjaya ditangkap oleh pengawal keselamatan sekolah serta guru pada pukul 8.30 pagi.
“Ketika kejadian, mangsa yang juga ibu kepada salah seorang murid di sekolah tersebut berada bersendirian di dalam kereta sebelum ternampak seorang lelaki sedang memerhatikannya.
“Lelaki itu dipercayai menunjukkan kemaluan sambil melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya di tepi kereta mangsa,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.
Menurut Suffian, suspek yang ditangkap oleh orang awam itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis.
Tambah Suffian, sebelum ini, pihaknya turut menerima tiga laporan daripada orang awam yang meminta anggota polis melakukan rondaan di kawasan sekitar sekolah tersebut berikutan gangguan yang dibuat suspek. – K! ONLINE











