THE HAGUE 27 Okt. – Saintis memberi amaran berjuta orang yang mempunyai tahap gula tinggi dalam darah berkemungkinan berisiko besar menghidap penyakit tibi.
Tambah saintis, gabungan antara diabetes dan tibi akan mencetuskan kehadiran lebih banyak penyakit.
Tibi merupakan jangkitan teruk disebabkan oleh bakteria pada paru-paru serta membunuh sebilangan individu sama seperti pesakit HIV/AIDS dan malaria.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 10 juta orang di seluruh dunia menghidap tibi pada tahun lalu dan pakar kesihatan khuatir peningkatan pesakit diabetes akan mengakibatkan berjuta-juta orang lagi berada dalam risiko.
Penyelidikan terbaharu yang didedahkan pada minggu ini ketika Persidangan Kesihatan Paru-paru Global di sini mencetuskan satu lagi sebab untuk pakar kesihatan berasa bimbang.
Penyelidikan berkenaan dijalankan oleh sekumpulan saintis dari Sekolah Kebersihan dan Perubatan Tropika London.
Saintis tersebut menjalankan ujian darah terhadap individu yang mengalami tibi dan diabetes di empat negara iaitu Afrika Selatan, Romania, Indonesia serta Peru.
Mereka kemudiannya menjalankan ujian ke atas pesakit yang mengalami tibi dan tahap gula tinggi dalam darah tetapi di bawah paras diabetes.
Hasil ujian terbabit mendapati sampel darah daripada mereka yang tidak mempunyai diabetes masih mengandungi molekul sama seperti pesakit tibi/diabetes.
“Ini menunjukkan sebelum seseorang itu mempunyai diabetes, risiko untuk menghidap tibi adalah tinggi,” kata Pengarah Penyelidikan di Persatuan Menentang Tibi dan Penyakit Paru-paru Antarabangsa, Ajay Kumar. – AFP










