Di mana mayat Jamal? - Utusan Malaysia

Di mana mayat Jamal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI 20 Okt. – Arab Saudi hari ini me­ngaku bahawa wartawan Jamal Khashoggi yang hilang sejak lebih dua minggu lalu, dibunuh dalam satu ‘pergaduhan’ dalam konsulat negara itu di Istanbul, Turki.

Sehubungan itu, Riyadh menahan 18 warga Saudi selepas penyiasatan dilakukan dan memecat dua pembantu utama Putera Mahkota, Mohammed Salman.

Jamal, penulis untuk Washing­ton Post dan pengkritik putera mahkota kali terakhir dilihat memasuki konsulat Arab Saudi pada 2 Oktober lalu bagi mendapatkan dokumen perkahwinan dengan tunangnya, Hatice Cengiz.

Arab Saudi sebelum ini menafikan mengetahui tentang nasib Jamal yang kehilangannya penuh misteri tetapi pihak berkuasa Turki, bagaimanapun percaya wartawan itu dibunuh sekumpulan skuad pembunuh di dalam premis itu dan anggota badannya dicerai-ceraikan.

Terbaharu, Peguam Negara Arab Saudi, Sheikh Saud al-Mojeb dalam kenyataannya berkata, Jamal meninggal dunia selepas perbincangan yang berlaku dalam konsulat Arab Saudi bertukar ‘pergaduhan dan tumbuk-menumbuk’ yang membawa maut. Beliau tidak menyatakan di mana mayat Jamal berada.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan penjelasan Arab Saudi sebagai boleh dipercayai tetapi White House menegaskan Jamal perlu memperoleh keadilan yang sepatutnya.

“Kami akan terus memantau rapi siasatan antarabangsa terhadap insiden tragik ini dan menyokong keadilan yang telus dan selaras dengan proses yang wajar,” kata jurucakap White House Sarah Sanders.

Kehilangan Jamal sebelum ini mencetuskan kemarahan antarabangsa dan membangkitkan gesaan ahli Parlimen AS supaya tindakan keras dikenakan terhadap Riyadh.

Setakat ini, Arab Saudi tidak mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaannya tentang pergaduhan yang mendorong kepada kematian Jamal dan tidak juga jelas sama ada sekutu Barat Riyadh akan ber­puas hati dengan penjelasan negara itu.

Media Arab Saudi berkata, pemerintah Arab Saudi. Raja Salman mengarahkan pemecatan dua pegawai kanan, Saud al-Qahtani dan Ahmed Asiri, kedua-duanya merupakan pembantu tertinggi kepada Putera Mahkota, Mohammed Salman.

Berdasarkan sumber Turki, satu rakaman audio merekodkan pembunuhan Jamal di dalam konsulat ketika akhbar Yeni Safak mendakwa individu yang menyiasat wartawan ber­kenaan memotong jarinya selain kepalanya dipenggal dan badannya dikerat.

Sementara itu, kehilangan Jamal mencalarkan reputasi Putera Mohammed dan me­nimbulkan persoalan tentang keupayaan beliau untuk me­mimpin sehingga memaksa Raja Salman campur tangan.

Raja Salman mengarahkan pembentukan satu jawatankuasa untuk menyusun semula agensi risikan yang me­ngandaikan Putera Mohammed masih memegang pelbagai bidang kuasa. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN