KUALA LUMPUR – Mahligai perkahwinan antara penyanyi Deja Moss dengan suaminya, Azfendy Azzuddin Ahmad sejak 10 tahun lalu akhirnya terlerai apabila pasangan itu disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam.
Lafaz cerai itu dibuat Azfendy, 39, terhadap Deja, 45, di hadapan Hakim Syarie Noranizan Mohd. Sufian pada pukul 2.45 petang.
Hakim Noranizan kemudian memerintahkan Deja menjalani tempoh edah selama tiga bulan manakala Azfendy perlu mendaftarkan perceraian mereka dan sijil nikah dibatalkan.
Dalam prosiding itu, Deja selaku defendan diwakili peguam syarienya, Halimatunsa’diah Abu Ahmad manakala Azfendy selaku plaintif diwakili Ahmad Daud. Namun Ahmad tidak hadir.
Permohonan cerai tersebut dibuat Azfendy mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 5 Mac lalu.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











