DBP akan tubuh jawatankuasa pertingkat bahasa Melayu ahli Parlimen - Utusan Malaysia

DBP akan tubuh jawatankuasa pertingkat bahasa Melayu ahli Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Sebuah jawatankuasa khas bagi meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan ahli Parlimen akan dibentuk oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak lama lagi.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom berkata, jawatankuasa itu akan bekerjasama rapat dengan Parlimen untuk mengadakan beberapa siri program.

Katanya, program pertama DBP di Parlimen dijangka bermula pada bulan hadapan.

“Kita membuka ruang kerjasama ini supaya wakil-wakil rakyat tidak berasa canggung atau sukar untuk menghubungi kami.

“DBP bersedia untuk melaksanakan tugas ini. Pada masa sama, kita bersetuju untuk tidak mengadakan kursus rasmi. Yang pentingnya, kita menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang baik, piawaiannya diterima secara asas dan kerjasama itu akan berterusan. Ini adalah satu sejarah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri kunjungan hormat pengurusan tertinggi DBP ke Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat di sini hari ini.

Kunjungan itu disambut oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

DBP turut menyerahkan kira-kira 50 judul buku berkaitan perundangan dan Parlimen kepada Mohamad Ariff. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN