KUALA LUMPUR 14 Okt. – Datuk Bandar Kuala Lumpur menafikan memberi kenyataan kononnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan penganjuran Oktoberfest 2018.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, beliau menafikan mengeluarkan kenyataan tersebut yang beliau sifatkan sebagai manipulasi pihak media.
“Saya beritahu sehingga kini DBKL tidak ada atau pernah menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menganjurkan pesta arak itu.
“Jadi tidak timbul isu kononnya DBKL ada memberi kelulusan permit kepada mana-mana pihak. Tidak ada. Jadi kalau ada pihak yang tetap menganjurkan pesta itu maka menjadi satu kesalahan dan boleh diambil tindakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 di Pejabat Lembangan Sungai Klang, Jabatan Pengairan dan Saliran, Batu di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini kononnya DBKL tidak menghalang Oktoberfest 2018 yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah terkenal di sini selagi tidak melanggar undang-undang.
Nor Hisham berkata, jika acara tersebut diadakan dalam premis menjual arak yang sememangnya mempunyai lesen menjual arak dan menghidangkan arak, DBKL tiada halangan kerana ia melibatkan dalam premis dan tertutup.
“Tetapi jika hendak dilakukan secara terbuka dan luar premis, DBKL akan halang dan tidak akan benarkan sebarang penganjuran pesta arak walaupun ada permohonan permit,” katanya. – UTUSAN ONLINE










