KUALA LUMPUR 25 Okt. – Tiada masalah sekiranya perkhidmatan e-hailing seperti Grab mahu menikmati faedah sama seperti dinikmati pemandu teksi, tetapi mereka diminta berdaftar sebagai syarikat teksi.
Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Mohd. Syahrir Abdul Aziz berkata, setelah perkhidmatan e-hailing melalui proses sama seperti syarikat teksi yang perlu mendapatkan pelbagai kelulusan pihak berkuasa, barulah mereka boleh menuntut faedah sama.
“Kena daftar. Tidak boleh bercakap begitu sahaja (tuntut faedah). Jika tidak melalui kaedah sama seperti teksi tradisional, tetapi menuntut hak seperti kami, di manakah keadilannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh yang berharap kenderaan persendirian dalam sistem Grab boleh mendapatkan faedah sama seperti teksi biasa jika demi mewujudkan persaingan yang adil.
Antara beberapa kelebihan yang dikatakan sedang dinikmati pemandu teksi tradisional ialah dari segi bahan api lebih murah, cukai jalan, tol serta duti eksais.
Mohd. Syahrir berkata, Grab tidak berdepan masalah seperti pemandu teksi biasa kerana syarikat e-hailing itu hanya mengharapkan kereta persendirian orang awam yang bilangannya tidak terhad.
Beliau percaya sebaik-baiknya perkhidmatan e-hailing itu diutamakan kepada mereka yang benar-benar mencari rezeki sebagai pemandu teksi.










