JOHOR BAHRU 25 Okt. – Kerajaan negeri mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung cukai karbon yang masih dalam penelitian kerajaan Pusat untuk dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, setakat ini, pihaknya masih belum mengadakan perbincangan secara mendalam tentang perkara tersebut.
“Buat masa ini, kita masih menunggu perincian daripada kerajaan Persekutuan tentang pelaksanaan cukai karbon. Oleh sebab itu, kita belum lagi mengadakan perbincangan lanjut mengenainya.
“Sekiranya perkara ini dipersetujui, barulah kita akan mengadakan perbincangan bagaimana ia boleh dilaksanakan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Karbon Rendah Asia dan Serantau 2018 di sini semalam.
Yang turut hadir Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Wahid Omar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Amran A. Rahman.
Hong Pin mengulas laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) 2016-2020 yang dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Jumaat lalu.
Sementara itu Hong Pin berkata, dalam menuju ke arah masyarakat rendah karbon menjelang 2025, masyarakat di negeri ini perlu mengubah cara hidup bagi mengurangkan intensiti pelepasan karbon di bandar raya ini.










