ROMPIN 20 Okt. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan menyeludup arak dan haiwan eksotik selepas menahan sebuah bot dinaiki nelayan asing di perairan Tanjung Gemok di sini, semalam.
Tangkapan dalam operasi pada pukul 2.45 petang kira-kira 37 kilometer dari Timur Tanjung Gemok itu dibuat hasil maklumat risikan.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia negeri, Kapten V. Pannir Selvan berkata, bot berkenaan dinaiki lapan nelayan termasuk seorang tekong yang kesemuanya warganegara Vietnam berusia antara 25 hingga 35 tahun.
“Hasil risikan, bot berkenaan didapati cuba menyeludup masuk 46 karton arak dengan jenama tidak dikenali dipercayai dari luar negara dan 10 tong berisi ular laut yang dipercayai cuba diseludup keluar untuk pasaran Vietnam.
“Kita turut menjumpai tiga tan metrik sotong gred A yang difahamkan cuba diseludup keluar dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah kira-kira RM300,000,” katanya di sini hari ini.
Menurut Pannir Selvan, pihaknya kini sedang mengenal pasti pemilik bot berkenaan memandangkan hasil semakan lesen bot itu meragukan.
Ujarnya, bot berkenaan didapati menggunakan nombor pendaftaran tempatan, namun semua nelayan yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen membawa barang-barang kargo, Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pengenalan diri yang sah dan Akta Kastam 1967 serta Akta Perhilitan,” katanya.









