KUALA LUMPUR 26 Okt. – Keputusan Kementerian Pendidikan tidak berganjak daripada membatalkan langganan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia ditafsirkan sebagai cubaan membalas dendam dan sengaja dilakukan.
Malah, kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang memberi gambaran seolah-olah kedua-dua akhbar berkenaan tidak menguar-uarkan nilai murni dan memupuk perpaduan disifatkan sebagai terlalu umum serta tidak mempunyai kematangan politik.

Perkara itu dilontarkan Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong yang turut mempersoalkan mengapa hanya Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia sahaja menjadi ‘mangsa’ sedangkan ada akhbar lain juga mempunyai kaitan dengan parti politik.
“Saya merasakan keputusan ini tidak bijak dari segi pendidikan kerana kenyataan Nie Ching dianggap sebagai sesuatu yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab. Perkara ini juga seolah-olah menunjukkan kebebasan media yang diperkatakan selama ini hanyalah retorik.
“Jika mengatakan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia tidak mencapai standard memupuk nilai murni, banyak lagi akhbar tidak memperjuangkan bahasa Melayu atau mengangkat kepentingan Melayu. Ini adalah keputusan politik disebabkan akhbar berkenaan mempunyai kaitan dengan parti politik lawan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Nie Ching ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat mengatakan keputusan membatalkan langganan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia bagi semua bahagian agensi, sekolah, universiti, kolej dan semua institusi di bawahnya kekal.
Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof Datuk Dr. Hasan Mad berkata, pendirian kerajaan untuk membatalkan langganan akhbar itu adalah disebabkan agenda peribadi dan bukan berkaitan polisi kerajaan.
Katanya, sebelum ini, kerajaan hanya mengarahkan pemberhentian langganan akhbar disebabkan faktor kos.
“Saya rasa menteri sebelum ini menyuruh berhenti melanggan tetapi tidak kata boikot dan keputusan henti langganan tersebut merupakan agenda peribadi tidak ada kena mengena dengan polisi,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) seharusnya tidak mengamalkan double standard terhadap mana-mana media sejajar dengan aspirasi Malaysia baharu yang dikatakan mengamalkan sikap keterbukaan.
“Kementerian Pendidikan sepatutnya memberi ruang dan peluang kepada semua media bercetak dalam usaha memupuk semangat dan minat membaca dalam kalangan pelajar.
“Itu juga sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan setiap pelajar mendapat ilmu dan bahan bacaan seiring dengan keputusan untuk menurunkan had umur pengundi kepada usia 18 tahun,” ujar beliau.










