Choong Hann kembali ke BAM - Utusan Malaysia

Choong Hann kembali ke BAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEKAS pemain negara, Wong Choong Hann secara rasminya dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pre­siden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang memberitahu, bekas pemain No. 1 dunia itu akan mengikat kontrak selama dua tahun serta bakal merangka persiapan negara untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020, Jepun.

“BAM sudah umumkan beberapa bulan lalu bahawa kita mencari pengarah kejurulatihan untuk memantapkan struktur kejurulatihan sedia ada. Jika guna tenaga luar, kita terpaksa menebus kontrak dari pakar-pakar luar yang biasanya sudah menandatangani kontrak selama empat tahun bersama agensi masing-masing

“Ekoran kekangan kewangan serta masa yang semakin suntuk ke Olimpik 2020, kita perlu mencari calon yang bersedia pada bila-bila masa. Untuk pengetahuan semua, kita menjumpai tiga calon dan akhirnya bersetuju melantik Choong Hann.

“Kita mahu beliau melihat struktur skuad kebangsaan sahaja iaitu tugas yang lebih mudah berbanding jawatan pengarah teknikal yang perlu melihat struktur kejurulatihan secara keseluruhan.

“Tugas utama beliau semesti­nya membantu skuad negara memburu pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik. Namun, untuk meletakkan KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) itu, kita perlu duduk berbincang dengan beliau kerana saya percaya Choong Hann juga perlu melihat keadaan semasa dari segi prestasi pemain,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat agung luar biasa (EGM) BAM di Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Sebagai rekod, bekas pemain berusia 41 tahun itu pernah menjadi pemain perseorangan pertama negara serta No. 1 dunia pada 2002.

Antara kejayaan manis yang diraih ialah merangkul pingat perak pada Kejohanan Dunia 2003 di Birmingham, England serta dua kali membantu skuad negara layak ke final Piala Thomas (1998 dan 2002).

Mengulas lanjut, Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, jurulatih sedia ada memahami tanggungjawab Choong Hann dan sebulat suara bersetuju untuk memberi kerjasama.

“Tidak ada sesiapa pun yang lebih besar daripada institusi ini (BAM). Kita sebulat suara bersetuju untuk melantik Choong Hann dan yakin menerusi karakter yang ada, beliau dapat bekerjasama dengan jurulatih-jurulatih untuk memenuhi objektif yang diletakkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN