KUALA LUMPUR 20 Okt. – Bekas pemain No. 1 dunia dan Malaysia, Wong Choong Hann dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan akan memulakan tugasnya pada 1 Januari depan.
Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, salah satu tugas utama bekas pemain perseorangan lelaki kebangsaan itu adalah merealisasikan matlamat memenangi pingat emas pada Olimpik Tokyo 2020.
“Pelantikan ini adalah bagi melengkapkan struktur kejurulatihan yang ada sekarang dengan semua lima ketua jurulatih akan menghantar laporan kepada Choong Hann. Bagaimanapun, Choong Hann hanya bertanggungjawab terhadap struktur kejurulatihan skuad kebangsaan.
“Sudah pasti salah satu tugas utamanya adalah meraih emas pada Tokyo 2020 tetapi untuk meletakkan ia sebagai KPI (Petunjuk Prestasi Utama), kami perlu berbincang dengan dia dulu dengan perlu dibuat berdasarkan situasi semasa dan kemampuan pemain yang ada sekarang.
“Selain Choong Hann, kami ada beberapa lagi calon termasuk pakar dari luar negara. Tetapi, melihat kepada situasi semasa dan kekangan kewangan, Choong Hann adalah pilihan terbaik,” kata Norza selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Luar Biasa BAM di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.
Tambahnya, beliau percaya dengan kemampuan dan pengalaman yang dimiliki Choong Han maka tidak mustahil matlamat di Sukan Olimpik Tokyo mampu direalisasikan.
“Saya percaya Choong Hann mampu bekerjasama baik dengan semua jurulatih bagi mencapai matlamat Tokyo 2020,” jelasnya.
Selain Choong Han, legenda badminton Indonesia, Rexy Mainaky dan ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek difahamkan antara calon utama bagi jawatan itu.









