China, Jepun lakar sejarah - Utusan Malaysia

China, Jepun lakar sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING – China dan Je­pun berikrar untuk menjalinkan hubungan le­bih rapat semalam ketika kedua-dua negara berdiri bersama-sama pada titik bersejarah dengan menandatangani pelbagai perjanjian termasuk pertukaran matang wang berjumlah AS$30 bilion (RM125.2 bilion) ketika ketegangan de­ngan Washington makin me­runcing.

Perdana Menteri Jepun, Shin­zo Abe dan rakan seja­watnya dari China, Li Keqiang juga bersetuju agar kedua-dua negara bekerjasama untuk mencapai perlucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea.

Persetujuan itu dicapai semasa lawatan tiga hari Abe ke Beijing. Semasa kunjungan tersebut, China dan Jepun bersetuju meneroka kerjasama dalam bidang baharu dan mencari kaedah baharu bagi memupuk kepercayaan susulan keretakan hubungan Beijing-Tokyo sejak kedua-dua negara memulihkan jalinan diplomasi pada tahun 1972.

“Daripada perlumbaan dan kini beralih kepada kewujudan bersama, hubungan dua hala Jepun dan China telah memasuki fasa baharu,” kata Abe pada satu sidang akhbar.

Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Xi Jinping lewat semalam dalam sidang kemuncak skala penuh Jepun-China itu, yang pertama sejak tahun 2011.

Firma Jepun termasuk syarikat automobil gergasi seperti Toyota mengharapkan hubungan Jepun-China kembali pulih bagi membolehkan ia bersaing dengan firma Amerika Syarikat (AS) dan Eropah di negara komunis itu.

Sebagai timbal balas, Beijing pula mahu Tokyo menyokong program Jalur dan Laluan, inisiatif Jinping bagi meningkatkan hubungan pengangkutan dan perdagangan antara China dengan negara-negara lain.

Langkah untuk meningkatkan hubungan ekonomi oleh kedua-dua negara itu dibuat ketika China dan AS berbalas menguatkuasakan tarif ke atas satu sama lain sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Perang tarif tersebut me­ngundang risiko buat Jepun berikutan negara Matahari Ter­bit itu mengeksport peralatan perkilangan dan elektronik ke China yang kemudian digunakan untuk mengilangkan barangan siap untuk dieksport ke AS dan pasaran lain. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN