LONDON 28 Okt. – Ketiadaan Eden Hazard tidak langsung menjejaskan Chelsea, sebaliknya Blues mempamer antara aksi terbaiknya musim ini dengan membelasah Burnley 4-0 untuk melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.
Posisi Hazard diisi oleh Willian yang beraksi baik untuk membantu skuad bimbingan Maurizio Sarri memberi tekanan kepada pendahulu, Liverpool apabila mengekori rapat dengan dua mata di belakang.
Manchester City pula ditinggalkan satu mata, namun skuad The Citizens mampu merampas kembali takhta liga sekiranya mengalahkan Tottenham, Selasa ini.
Dalam aksi di Turf Moor, pasukan pelawat membuka jaringan menerusi Alvaro Morata pada minit ke-22, malah penyerang Sepanyol itu mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik untuk menambah gol tetapi gagal disempurnakan.
Memasuki babak kedua, pemain tengah England, Ross Barkley menjadikan kedudukan 2-0 apabila melakukan rembatan di luar kotak penalti, sebelum Willian menambah gol ketiga dan pemain gantian, Ruben Loftus-Cheek melengkapkan kemenangan 4-0 pada waktu kecederaan.
Selepas 10 perlawanan, Chelsea yang masih memgekalkan rekod tanpa kalah musim ini mengumpul 24 mata. Liverpool dan City, dua lagi pasukan yang belum pernah tewas masing-masing mengutip 26 serta 23 mata. – AGENSI










