Cerun Malaysia berbahaya? - Utusan Malaysia

Cerun Malaysia berbahaya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENAP setahun lalu, kejadian runtuhan tanah direkodkan berlaku di tapak projek pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Pada tarikh 21 Oktober itu, ia telah meragut nyawa 11 pekerja.

Dan ‘tragedi Oktober’ itu berulang. Kali ini berlaku di Bukit Kukus, Paya Terubong, Relau di negeri yang sama, Jumaat lalu. Lebih tujuh mangsa terkorban apabila runtuhan tanah yang berlaku di situ menimbus empat kontena yang dijadikan bilik rehat oleh sekumpulan pekerja Projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.

Kejadian seumpamanya bukan kali pertama berlaku, malah sekurang-kurangnya empat peristiwa sama menimpa di negeri tersebut dalam tempoh dua tahun. Bukan sahaja di Pulau Pinang, malah episod hitam itu turut melanda di seluruh negara. Cameron Highlands umpamanya seperti tidak sudah-sudah berlaku bencana itu.

Mana tidaknya, sejak 10 tahun lepas, lebih 13 penduduk terkorban akibat ta­nah runtuh dan banjir lumpur di kawasan tanah tinggi tersebut. Terbaharu, tiga pekerja Myan­mar menjadi mangsa korban pada 14 Oktober lalu.

Ramai pakar geologi menjangkakan bahawa pusat peranginan itu berisiko tinggi akan berlakunya kejadian seumpamanya pada masa akan datang mengikut keadaan dan struktur tanah di kawasannya.

Timbul persoalan, mengapa tragedi yang meragut nyawa itu terus berlaku? Adakah bentuk muka bumi di negara ini berisiko tinggi atau ia disebabkan faktor manusia yang rakus menggondol bukit-bukau demi wang?

Kementerian Kerja Raya pernah mengeluarkan statistik bahawa sepanjang tahun lalu, sebanyak 946 daripada 16,453 cerun di sepanjang jalan persekutuan di Semenanjung diklasifikasikan sebagai berisiko sangat tinggi. Sejumlah 1,551 cerun pula diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi; 2,307 berisiko sederhana; 5,122 berisiko rendah dan 6,528 diletakkan sebagai berisiko sangat rendah.

Dalam hal ini, Pensyarah Kanan, Fakulti Razak dalam Teknologi dan Informatik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Khamarrul Azahari Razak menyuarakan kebimbangan bahawa tanah tinggi terutama di Cameron Highlands dikenal pasti berpotensi sebagai kawasan bahaya dan berisiko kepada tanah runtuh. Keadaan itu seperti yang telah dinyatakan dalam Pelan Induk Cerun Negara dan Pelan Pembangunan Fizikal Negara.

Menurut pakar di pusat kawalan dan persediaan bencana itu, tahap bahaya dan risiko geobencana meningkat dengan perubahan iklim yang ekstrem, pembangunan yang tidak terancang, perubahan guna tanah yang tidak seimbang, ditambah lagi dengan tahap kesedaran komuniti yang rendah terhadap kesiapsiagaan bencana.

Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah petanda bahawa pusat tumpuan pelancong itu tidak dapat dipulihkan. Penyelesaian boleh dirangka dalam bentuk jangka masa pendek dan panjang.

Apa yang paling utama kata beliau, penerokaan tanah haram wajib dikawal dengan meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan aktiviti di kawasan itu secara konsisten.

“Impak kepada alam sekitar dan infrastruktur mungkin meningkat dengan ketiadaan sistem pengurusan cerun terutamanya yang berisiko tinggi. Ia mungkin memerlukan mitigasi struktur khusus dan pemuliharaan cerun yang mesra alam. Malah, pengguna lebuh raya atau jalan akan terdedah kepada geobencana pada masa hadapan dengan ketiadaan sistem amaran awal,” ujarnya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Namun begitu, beliau yang juga Pakar Pengurusan Risiko Bencana itu berpendapat, pengurusan cerun di negara ini sudah di tahap terbaik. Ini kerana, Malaysia telah mengadaptasi beberapa teknologi dari negara maju seperti Hong Kong dan Jepun. Teknologi pemantauan dan sistem amaran awal juga telah diimplementasi di beberapa lokasi tanah runtuh dan cerun yang berisiko tinggi.

Misalnya, teknologi termaju LIDAR telah digunakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia dalam pemetaan dan penilaian bahaya dan risiko cerun di negara ini.

Teknologi amaran awal berasaskan komuniti juga sedang dibangunkan oleh pihak UTM dengan kerjasama pakar dari Korea dan permodelan bencana berasaskan sedimen seperti banjir puing (debris flow) dengan kepakaran dari Taiwan.

Pun begitu, Khamarrul mengingatkan bahawa walau secanggih mana pun teknologi, ia tidak akan berkesan jika tiada penguatkuasaan dilaksanakan. Strategi antarabangsa seperti mengarusperdanakan aspek Pengurangan Risiko Bencana (Disaster Risk Reduction – DRR) dalam perancangan pembangunan dan kawalan pembangunan perlu diadaptasi secara holistik.

“Pembangunan menjadi tidak selamat dengan kelemahan penguatkuasaan terutamanya di kawasan penduduk berkapasiti atau berdensiti tinggi.

“Konsep DRR harus diterapkan dalam perancangan pembangunan ke arah memastikan sesebuah bandar dan komuniti berdaya tahan bencana. Aspek infrastruktur, sosial, ekonomi, alam sekitar dan institusi perlu diperkukuhkan dalam penerapan konsep mengurangkan risiko semasa dan mengelakkan risiko bencana masa depan,” jelas beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, pembangunan di kawasan cerun bukit dan tanah tinggi perlu mengambil kira aspek geologi setempat, pemetaan bahaya, penganalisian keterancaman dan penilaian risiko tanah runtuh atau ancaman kegagalan cerun.

Kita tidak mahu bencana lebih besar menimpa negara seperti yang telah pun berlaku di negara jiran termasuklah di negara-negara yang sering dilanda musibah itu. Jangan tunggu lebih banyak nyawa melayang dan kita hanya duduk bersembang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN