Ceria Malaysiaku: Karnival keluarga berkonsep edutainment - Utusan Malaysia

Ceria Malaysiaku: Karnival keluarga berkonsep edutainment

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Bermula pada 19 sehingga 25 November ini, orang ramai dijemput untuk menyertai karnival keluarga berkonsepkan pembelajaran dan hiburan atau edutainment bertempat di bangunan pusat beli belah, BUSANA@MenaraMARA dan di Hotel Premiera, di sini.

ROZALINA ZAINAL ABIDIN
ROZALINA ZAINAL ABIDIN 

Karnival yang julung kali diadakan itu turut melancarkan kempen ‘Bersama Ceria Ke Sekolah’ yang mana ia bertujuan membantu anak-anak golongan asnaf untuk membeli kelengkapan persekolahan mereka pada tahun hadapan.

“Cuti sekolah penggal akhir bermula tidak lama lagi. Jadi, dalam melaksanakan tanggungjawab sosial, dari pihak pengurusan BUSANA@MenaraMARA berpendapat, inilah masanya untuk digerakkan kempan ‘Bersama Ceria Ke Sekolah’ dalam acara karnival keluarga yang bertemakan Ceria Malaysiaku,” kata Pengurus Bahagian Pemasaran MARA Incorporated Sdn. Bhd., Rozalina Zainal Abidin.

Menurut Rozalina lagi, pengunjung ke karnival keluarga boleh menyalurkan sumbangan dengan mengunjungi satu sudut khas di Atrium, Aras 1, BUSANA@MenaraMARA sepanjang karnival berkonsepkan edutainment ini berlangsung.

“Di situ, pengunjung yang dermawan boleh memilih untuk menyalurkan sumbangan mereka kerana pihak kami memaparkan 100 nama anak-anak dari golongan asnaf yang dikenalpasti yang memerlukan bantuan untuk persekolahan mereka.

“Orang ramai boleh memilih satu atau lebih nama anak-anak golongan asnaf yang dipaparkan untuk diberikan sumbangan dan majlis penyerahan sumbangan kepada penerima akan diadakan pada tarikh yang ditetapkan kelak,” jelasnya.

Rozalina juga berkata, karnival keluarga mensasarkan kehadiran kanak-kanak berusia 4 tahun dan golongan remaja.

karnival keluarga
 

Oleh itu, katanya, pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk demonstrasi, tutorial dan bengkel robotik, sudut bercerita, Dapur Chef Cilik, permainan ‘Giant Board’ dan penampilan khas maskot yang popular dalam kalangan anak-anak, Didi & Friends, Cam & Leon, Iman Sara dan Bear Line.

Kata Rozalina, aktiviti Dapur Chef Cilik amat menarik kerana demonstrasi masakan untuk kanak-kanak adalah bersama dengan Chef dari Hotel Premiera, Kuala Lumpur.

“Kalau nak tahu apakah pengisian Dapur Chef Cilik, orang ramai mesti datang kerana Chef dari Hotel Premiera kemungkinan akan menyediakan menu yang sihat dan menjadi kegemaran akan-anak.

“Dalam masa yang sama, orang ramai juga boleh membeli belah di BUSANA@MenaraMARA kerana terdapat lebih 70 pempamer yang memberi variasi fesyen, makanan, barangan robotik dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata, turut diadakan ialah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak yang menawarkan hadiah menarik.

“Karnival keluarga bertemakan Ceria Malaysiaku adalah kolaborasi lima entiti iaitu BUSANA@MenaraMARA, Hotel Premiera Kuala Lumpur, Telaga Biru Sdn. Bhd., SPM Syarikat Permainan (Malaysia) Sdn. Bhd., dan Pavilion Planet yang tidak pernah lagi dianjurkan oleh mana-mana pihak swasta mahupun korporat.

“Oleh yang demikian, apabila lima entiti ini bergabung untuk merealisasikan sebuah karnival berkonsepkan edutainment, sekurang-kurangnya pada musim cuti sekolah yang akan datang ini, masa anak-anak kita terisi dengan aktiviti yang berfaedah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN