LAHAD DATU 23 Okt. – Seorang lelaki cedera ditembak selepas cuba menyerang anggota polis yang menjalankan tugas di kawasan kebun sawit Kampung Betik, di Taman Sri Perdana, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi ini, suspek yang berusia 39 tahun cedera di kaki kiri selepas bertindak menyerang pihak berkuasa itu dengan menggunakan sebilah parang.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika kejadian, anggota polis sedang membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan sebelum melihat suspek dalam keadaan duduk sambil memegang parang.
“Suspek yang melihat kehadiran pasukan polis terus berdiri sambil memegang parang lalu dilibas ke arah pasukan polis dengan jarak kira-kira kurang dua meter.
“Polis sebelum itu memperkenalkan diri sebagai anggota penguasa dan mengarahkan suspek untuk membuang parang dan menyerah diri, namun suspek kemudiannya bertindak agresif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nasri menambah, hasil siasatan mendapati, suspek terlibat dalam lima kes khianat iaitu memecahkan cermin rumah dan kereta di Taman Sri Perdana sebelum ini.
“Suspek juga sering berkeliaran di taman tersebut dengan membawa parang yang mengganggu ketenteraman penduduk setempat.
“Kes akan di siasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










