LONDON 31 Okt. – Penjaga gol Arsenal, Petr Cech akan diturunkan untuk menghadapi Blackpool dalam aksi Piala Liga selepas pulih daripada kecederaan hamstring kata pengurus The Gunners, Unai Emery.
Cech, 36, sebelum ini kerap menyebabkan Bernd Leno disingkirkan daripada kesebelasan utama pasukan sebelum dia menerima kecederaan tersebut ketika menentang Watford pada September lalu namun dia dilihat berada di bangku simpanan ketika Arsenal terikat 2-2 menentang Crystal Palace, minggu lalu.
“Kami mencari keyakinan dalam setiap penjaga gol dan buat masa sekarang, Cech akan diletakkan dalam kesebelasan utama menentang Blackpool selepas pulih daripada kecederaan,” kata Emery.
Dalam pada itu, Emery berkata dia akan membuat beberapa pertukaran untuk menentang kelab divisyen ketiga dalam pusingan keempat kejohanan di Stadium Emirates esok (awal pagi ini waktu Malaysia).
“Kami akan memilih 18 pemain untuk menghadapi Blackpool begitu juga dengan pemain muda. Kami akan melakukan kombinasi di antara pemain muda dan senior untuk mendapatkan persembahan terbaik menghadapi Blackpool dan menghormati lawan,” katanya. – REUTERS
habis










